Nuffnang ads

Sunday, 25 May 2014

Jangan lupa untuk matikan semua suis sebelum keluar rumah!

Hari ini saya telah melalui situasi yang benar-benar merobek jantungku. Eh, bukan-bukan. Maksud saya situasi yang benar-benar mencemaskan dan memberi satu peringatan keras. Begini ceritanya, saya telah keluar ke bandar untuk pergi membeli barang-barang keperluan harian. Dengan yakinnya saya membiarkan kipas terpasang kerana saya pergi ke bandar pun bukannya lama. Lagipun, tujuan saya membiarkan kipas itu terpasang kerana cuaca sekarang sangat panas dan membuatkan bilik saya bertukar menjadi oven dengan sekelip mata. Jadi, kipas tersebut akan menyejukkan bilik sementara saya berada di bandar.

Selesai sahaja urusan beli-beli di bandar, saya pun pulang ke rumah. Saya kemudian naik ke bilik untuk menukar pakaian. Buka sahaja pintu, bertebaran bau hangit dan hangus singgah di lubang hidung. Serius busuk! Perkara pertama yang singgah di fikiran saya ialah BENDA TERBAKAR! . Dengan cemasnya saya membuang meletakkan barang-barang yang baru saya beli ke lantai dan mencari apakah puncanya. Siasat punya siasat rupanya suis kipas saya terbakar. Sebenarnya, sebelum jalan ke bandar, saya ada letak gelas yang masih berisi air di tepi suis kipas. Entah bagaimana, air itu tertumpah dan terkena suis. Betapa cuainya saya.


Inilah rupa suis kipas yang terbakar itu

Syukurlah saya sempat sebelum terjadi benda yang lebih buruk. Minta dijauhkan. Situasi itu memberikan saya pengajaran supaya sebelum keluar rumah, benda pertama yang perlu dibuat ialah MATIKAN SEMUA SUIS DI RUMAH.

Terima kasih kerana membaca

Saturday, 24 May 2014

Sup kari yang paling sedap

Hai, apa khabar kamu semua? Saya di sini sihat sahaja. Syukur kepada Tuhan. Hari ini saya ingin bercerita tentang sup kari yang sangat sedap di Labuan. Kedai makan tersebut ialah Kedai Kopi Jia Yan. Pertama kali dalam hidup saya merasai kelazatan kari yang benar-benar memikat selera. Selalunya, sup kari yang saya rasa semuanya terlebih perasa. Tetapi, tidak bagi sup kari ini. Ianya sangat sempurna.

Okey, disebabkan perut yang berkeroncong, kami masing-masing memesan dua set nasi ayam, sup kosong ,semangkuk sup kari dan dua tin minuman 100 plus.

Apa yang saya suka tentang nasi ayam ini ialah nasinya dimasak dengan sempurna. Ia bukannya sekadar nasi putih tetapi dimasak dengan menggunakan perasa yang saya tidak berapa pasti. Kemudian, ayamnya pula dimasak lembut memikat jiwa. 

Our dish. Sedap!

Bagi sup kari pula, memang tidak dapat dinafikan lagi yang rasanya begitu lazat. Supnya benar-benar tersangat ‘kaw’. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat sup kari ini bergabung dengan baik. Sangat kena dengan tunas rasa saya. Pada pendapat saya, it is the best curry soup so far.

Sup Kari yang legend!

Patutlah kedai makan ini sentiasa penuh dengan pelanggan walaupun lokasinya sedikit tersembunyi. Rupanya, makanannya yang sedap-sedap belaka. Dengan servis yang pantas dan suasana makan yang selesa, memang tidak rugi untuk berkunjung ke sini.

Selepas itu, aktiviti makan masih diteruskan setibanya di rumah.

dengan Maggie special!

dan buah pir

Terima kasih kerana membaca

Pencuci muka terbaik

Lepas saja mandi, saya menghadap cermin. Siasat muka sebelah kanan, siasat muka sebelah kiri. Okey, clean. So far, kulit masih sihat muda belia. Halus dan suci...haha… Kaum lelaki pun perlu menitikberatkan penjagaan muka ya dan menjadikan ia sebagai rutin harian. Lebih-lebih lagi zaman sekarang yang mana penampilan itu sangat penting terutamanya bahagian wajah. Jika wajah berseri, keyakinan pasti bertambah. Jika keyakinan bertambah, hidup pasti gembira.

Okey, tadi saya telah mencuci muka dengan menggunakan L’oreal Revitalift yang baru dibeli. Saja untuk mencuba benda baru. Rasa selesa apabila menggunakan produk ini. Hanya sedikit kuantiti sahaja yang diperlukan untuk menghasilkan buih yang banyak. Selepas mengeringkan wajah, saya dapat merasakan kulit saya sangat halus, tegang dan harum. Bentuk botol produk ini pun menarik dan bercitarasa tinggi malah pemilihan warna juga menarik. Bagi saya, produk ini bagus untuk digunakan.

L’oreal Revitalift

Walaupun L’oreal RevitaLift ini sangat bagus namun saya tetap setia dengan pencuci muka lama saya iaitu Syahirah. Panjang ceritanya mengapa saya suka dengan produk Syahirah. Pertama kali saya menggunakan produk Syahirah ialah ketika saya berumur 15 tahun. Before that, muka time tu memang remaja habislah. Minyak sana sini, jerawat batu dan pasir bertaburan di merata tempat serta masalah blackhead yang membimbangkan. Banyak produk yang saya telah cuba. Namun semuanya hampa. Akhirnya, saya terjumpa produk Syahirah ini. Itu pun tanpa dirancang. Saya just beli macam begitu saja tanpa sebarang harapan yang muka saya akan menjadi seperti Nichkhun 2PM. Setelah sebulan memakainya, wah...sangat berkesan. Segala musuh ketat yang bersarang di wajah ini telah dimusnahkan. Kulit muka pun menjadi halus dan lembut sehinggalah sekarang. Ibarat mimpi jadi kenyataan. So, sampai sekaranglah saya setia dengan produk Syahirah. Harga pun murah bagi seorang pelajar seperti saya ini. Jimat.

Pencuci muka Syahirah

Baiklah, time to sleep. Selamat malam semua.

Terima kasih kerana membaca

Friday, 23 May 2014

Bahaya lipas

Lipas ni jika kita bunuh dengan menggunakan selipar, penyapu, kayu hoki, kaki dan sewaktu dengannya sehingga penyet, isi perutnya tentu akan terburai di atas lantai bukan? Isi perut itulah yang berbahaya kepada kita. Ini kerana terdapat cacing-cacing halus yang mendiami perut lipas itu tadi. Oleh kerana rumahnya telah dimusnahkan, maka dia akan mencari perumah yang baru. Apa yang akan berlaku seterusnya lagi bahaya. Jika kita atau orang dalam rumah terpijak isi perut lipas itu, maka cacing-cacing itu akan mendapat perumah baru. Mereka akan masuk melalui pori-pori kulit kita atau bila ada luka terbuka pada kulit luar. Bayangkan?

Lecturer saya panggil lipas sebagai Cik Li

For me, I don’t want to share my body with other creatures as their home sweet home. So, pengajarannya, jangan bunuh lipas sehingga lenyek. Kalau mahu bunuh pun, bunuh dengan lembut sehingga mati tanpa meledakkan isi perutnya itu.

Terima kasih kerana membaca

Gigit kasut sendiri

Hai semua. Hari ni saya ingin berkongsi tentang  petua orang tua-tua dahulu kala yang berkaitan dengan kasut. Pernahkah kamu mendengar petua jika kamu membeli kasut baru, kamu harus mengigitnya terlebih dahulu. Kiranya gigi dahulu yang rasmi sebelum tapak kaki. Tidak kisahlah gigit di mana-mana asalkan di kasut baru tu. Pastikan yang baru. Bukannya kasut yang sudah dijeruk dan berbau seperti kasut gim. Ini kerana mereka percaya dengan berbuat demikian, tapak kaki kita tidak akan melecet. Kedengaran sedikit aneh bukan?

Menurut pengalaman saya, petua itu terbukti berkesan. Ianya adalah benar dan bukan kisah dongeng Stacy. Ketika saya berumur 13 tahun, saya telah membeli sepasang kasut baru melalui hasil titik peluh saya sendiri dengan membantu bapa berniaga. Bapa saya ni tidak suka mengupah orang lain. Katanya, lebih baik upah anak sendiri daripada orang lain. Ya, betul tu pak, saya sangat setuju. Sehari saya memperolehi RM 20 untuk kerja tiga jam. Kerjanya senang saja, angkat-angkat barang dari lori ke tapak jualan. That’s all.


Berbalik kepada petua tadi, setibanya di rumah, saya dengan excitednya mencuba kasut baru yang berharga RM 50 itu dan berjalan-jalan di kawasan sekitar rumah. Baru sejam berjalan, saya terasa kaki saya melecet. Dengan pantasnya saya balik ke rumah. Wah, sakit benar lecetan itu. Kebetulan, emak turut berada di tempat kejadian. Emak pun berkongsilah petua mengigit kasut tersebut kepada saya. Saya pun gigitlah kasut itu walaupun sudah digunakan. Keesokan harinya, saya cuba pakai kasut itu berjalan-jalan di bandar. Cuba teka? Ya, saya langsung tidak mengalami masalah melecet malah berasa selesa menggunakan kasut baru itu. Thanks mom!


Sama ada petua itu benar ataupun cuma kesan placebo, itu terpulang kepada individu masing-masing. Jika petua ini berkesan, berterima kasihlah kepada orang tua-tua kita.


Oleh itu, selamat mengigit kasut baru anda!

Terima kasih kerana membaca

Thursday, 22 May 2014

Hidangan minum petang yang enak lagi menjimatkan

Kali ini saya ingin berkongsi tentang juadah minum petang saya yang sangat menyelerakan dan menjimatkan. Enak sungguh dimakan ketika perut sedang lapar ditambah lagi dengan suasana petang yang mendamaikan. Perghhh...

Petang tadi, saya telah pergi ke sebuah kedai bakeri yang menjual beraneka jenis roti yang benar-benar menguji keimanan dan meransang nafsu makan saya. Nama kedai itu ialah Fook Yuen Bakery Cafe yang terletak berhadapan dengan terminal feri Labuan. Apa yang membuatkan saya tertarik untuk membeli di sana ialah selepas jam 6 petang, mereka akan memberi diskaun 50% untuk semua jenis roti yang terdapat di sana. Selalunya, dekat jam 7 malam, semua roti akan habis dibeli oleh kaki-kaki roti diskaun seperti saya ini. Jadi, siapa cepat dialah yang dapat.

Saya telah membeli 2 biji burger berharga RM 1.50 sebiji selepas diskaun yang mana harga asalnya ialah RM 3.00 sebiji. Lebih murah daripada burger Ramly yang di jual di gerai-gerai di tepi jalan.

Nampak enak bukan?

Kemudian, saya membeli sebiji roti panjang yang berharga RM 1.20 selepas diskaun. Harga asalnya ialah RM 2.40. Sedap roti panjang ni.

Rasa keju dan gula seimbang dalam roti ini 

Selain itu, saya telah membeli 5 biji roti yang sama harganya iaitu dua biji Chocolate Cheese Bun, dua biji Chocolate Bun dan sebiji Chesee Bun. Harganya Cuma RM 1.10 sebiji selepas diskaun. Manakala, harga asalnya ialah RM 2.20. Antara banyak-banyak roti yang saya beli, Chocolate Cheese Bun merupakan roti kegemaran saya kerana didalamnya terdapat keju dan coklat yang sangat padat. Jujur saya katakan, ianya memang tersangat enak. Kesedapannya membuatkan saya berada di awang-awangan.

Chocolate Cheese Bun kegemaran saya

Nampak coklat dan keju bersatu di dalamnya?

Chocolate bun yang tidak kurang enaknya

Cheese Egg Bun. Yang kuning di tengah tu ialah telur.

Saya kurang gemar minum minuman panas pada waktu petang. Kalau time sarapan memang wajib ada segelas minuman panas seperti milo ataupun susu supaya sentiasa kekal bertenaga. Tidaklah lemah semacam sebelum tengahari. Oleh itu, saya telah membeli sebotol minuman Mountain Dew yang berharga RM 2.50 untuk digandingkan bersama roti-roti yang baru dibeli itu. Such a perfect combination!


Demikianlah, hidangan minum petang saya yang sangat sedapppppppp. Nampak kesedapannya di situ sehingga saya memanjangkan huruf ‘P’ itu. Sudahlah enak menjilat kuku, jimat lagi. Kos keseluruhan termasuk minuman cuma berjumlah RM 12.20 berbanding harga sebelum roti-roti tu didiskaunkan iaitu sebanyak RM 21.90. Nampak penjimatan hebat di situ?
                              
Sehubungan dengan itu, kita perlu pandai mencari tempat yang menjual makanan murah tetapi sedap dan bersih. Senang sahaja untuk berjimat asalkan kena dengan caranya.

Terima kasih kerana sudi membaca

Wednesday, 21 May 2014

Cara berjimat untuk seorang pelajar

Susah sebenarnya menjadi seorang pelajar universiti ini. Assignment sana sini, kelas yang kadangkala boleh berlanjutan sehingga malam, masa untuk belajar yang sangat padat dan sebagainya. Tetapi, saya sedar itu merupakan lumrah sebagai seorang pelajar and we have to deal with that. Saya harus memikul tanggungjawab tersebut kerana kesusahan itulah yang melatih diri ini untuk menghadapi cabaran yang lebih berat lagi yang akan saya hadapi ketika menjejakkan kaki ke alam pekerjaan yang mana saya kira lebih susah daripada apa yang saya alami sekarang ini. *Dengan muka yang sangat bersemangat*

Namun, isu yang paling ketara sebagai seorang pelajar ialah masalah ketidakcukupan wang yang acapkali menimpa diri ini. Memang perkara seperti ini selalu terjadi kepada saya. Walaupun, saya sudah membuat bajet ala-ala Belanjawan Negara namun tetap juga tidak mencukupi. Ini disebabkan banyak benda yang perlu dibeli contohnya buku-buku, alat tulis, pakaian, keperluan harian, makanan dan banyak lagi. Selalunya pada hujung semester, talian hayat 999 terpaksa digunakan. Faham-fahamlah ya apa itu talian hayat - ibubapa yang tersayang *rasa bersalah*

Di sini, saya ingin kongsikan tentang beberapa cara untuk berjimat. Saya sudah mencuba cara ini dan terbukti berkesan. Bolehlah juga menjimatkan beberapa ratus ringgit. Cukup untuk membeli baju baru. Eh, bukan-bukan. Maksud saya cukup untuk survive sehingga hujung semester. Selalunya, awal semester semua pelajar loaded dengan wang di dalam akaun mereka. Lebih-lebih lagi mereka yang ada PTPTN. Mesti masing-masing sudah menyenaraikan apa benda yang mahu dibeli. Termasuklah benda yang tidak perlu.

Ketika awal semester, yang mana wang agak banyak pada ketika itu. Jangan sesekali pasang impian untuk membeli gajet canggih dan terkini. Sekali kita berangan-angan, kita akan mula terdorong untuk membelinya. Ini kerana ia bukan sahaja membazir tahap alam semesta malah ianya juga akan membuatkan anda menyesal kerana bulan depan gajet yang lebih baru akan muncul. Contohnya, telefon pintar Samsung S4, lima bulan kemudian, keluarlah adiknya Samsung S5. Tidakkah sakit hati tu? Ada seorang kawan saya ini setiap awal semester dia akan menghabiskan wang PTPTNnya untuk membeli gajet terkini dan sanggup untuk mengikat perut sepanjang semester. Saya amat bersimpati dengannya. Sangat-sangat.

Selain itu, dari segi membeli pakaian pula, kita perlu berpada-pada. Saya tahu yang kita remaja ini suka berfesyen. Kita semua suka pakai benda yang cantik, sofistikated dan sesuai dengan fashion sense masing-masing. Saya pun suka memakai pakaian yang up to date dan lebih terkini. Jika boleh, satu seksyen pakaian lelaki di Padini tu saya beli. Namun, saya sedar dengan diri ini yang tidak punya apa-apa. Sedih. Pakaian yang sedia ada jika masih boleh dipakai, pakailah. Kalau mahu lebih pembaharuan, kita boleh mencuba teknik mix & match. Pasti penampilan nampak lebih segar dan bergaya dengan baju-baju lama yang dipadankan itu. Boleh juga do it yourself mengubah pakaian lama dirumah sebelum semester bermula. Mungkin hasilnya lebih cantik daripada yang ada di kedai serta menjimatkan.

Beg yang sudah digunakan selama satu semester

Saya masih menggunakan beg ini walaupun bertahun sudah digunakan

Aksesori juga merupakan salah satu benda yang pelajar suka beli terutamanya pelajar perempuan. Gelang, anting-anting, rantai, cincin dan sebagainya merupakan satu kemestian. Tetapi, ingat ya kawan-kawan. Kita datang ke universiti bukan untuk bergaya seperti Rozita Che Wan. Kita datang ke sini dengan satu matlamat iaitu untuk berjaya. Cewah, bersemangat betul. Tunggu sehingga kita sudah bekerja barulah membeli aksesori yang kita inginkan itu. Okey?

Makan. Ya, inilah merupakan satu masalah yang sukar untuk ditangani oleh pelajar. Saya akui kadang-kadang saya terlebih belanja untuk makanan. Lari dari bajet. Pernah sekali saya berjanji dalam sanubari ketika di dalam kelas untuk berjimat ketika makan tengahari nanti. Namun, lain pula ceritanya selepas itu. I am over budget. Kiranya saya mahu makanan tengahari yang cuma berharga RM4. Tetapi, TERbelanja sebanyak RM10. Sejak hari tu saya insaf serta-merta. Penyelesaian saya ialah sebelum saya ke kelas, saya akan bersarapan pagi dahulu dengan beberapa keping biskut dan segelas air milo. Kemudian, tengahari saya cuma makan nasi + sayur + ayam. Harganya cuma RM4.50 sahaja di sini. Malamnya, mi segera menjadi peneman setia. Tetapi, janganlah setiap malam makan mi segera saja ya. Tidak baik untuk kesihatan.  Keseluruhannya, perbelanjaan sehari untuk makan sahaja tidak melebihi RM10. Jimat bukan?

Seterusnya, kita haruslah berjimat untuk perbelanjaan lain-lain.Maksud saya lain-lain ialah seperti kertas graf habis jadi ingin beli baru, kasut sudah haus sebab hari-hari kena berjalan 500 meter ke kelas jadi perlu beli yang baru dan sebagainya. Kadang-kadang, perkara seperti inilah yang boleh over bajetkan perbelanjaan kita. Cara terbaik ialah dalam situasi kertas graf itu tadi, berjimatlah menggunakannya manakala bagi situasi kasut haus, bersopan santunlah ketika berjalan. Kurangkan geseran. Be gentle. Ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pembaziran sekaligus menyelamatkan wang kita daripada mengalir deras.

Keadaan kasut saya masih elok walaupun sudah setahun digunakan

Pendek kata, berjimat-cermatlah selagi boleh kerana banyak manfaatnya jika kita berjimat sebagai seorang pelajar. Bak kata pepatah, berjimat amalan mulia, membazir amalan shaiton*dengan nada tipikal tok bomoh dalam filem seram melayu *

Terima kasih kerana membaca

Tempat-tempat impian yang saya ingin lawati

Hari ini saya ingin menulis tentang tempat-tempat impian yang ingin saya lawati di seluruh dunia suatu hari nanti. Setiap orang pasti ada tempat impian masing-masing bukan? Di sini, saya hanya akan senaraikan lima tempat impian saya.

1. Tokyo, Jepun
Dari kecil lagi saya benar-benar ingin melawat ibu negara Matahari Terbit ini. Melalui kaca television, saya sangat kagum melihat kepesatan pembangunan di sana. Budaya di Jepun juga sungguh menarik untuk dipelajari. Mereka sangat bersopan-santun dan saling menghormati. Makanan di sana juga kelihatan sedap dan pelik. Misalnya, hidangan ikan buntal mentah. Selain itu, pengangkutan awam yang mereka ada sangatlah hebat. Untuk pengetahuan bersama, di sana terdapat salah satu kereta api elektrik penumpang yang terpantas di dunia. Jika boleh, saya ingin melancong ke Tokyo pada musim bunga kerana pada ketika itu, bunga Sakura sedang mekar kembang berseri-seri. Boleh bayangkan betapa cantiknya pemandangan pada ketika itu?

Pemandangan Kota Tokyo pada waktu malam

Shinkansen-Kereta Api Peluru Jepun dengan berlatarbelakangkan Gunung Fuji

Bunga Sakura yang mengamit perasaan

2. Paris, France
Tempat ini memang tidak lari dari senarai tempat impian setiap orang. Siapa yang tidak mahu datang ke Kota Cinta? Kebanyakan rancangan traveling sekarang banyak memaparkan tentang kota ini. Salah satunya ialah rancangan Anthony Bourdain yang mana dia datang ke Paris dan menunjukkan keindahan Paris kepada penonton. Serius saya katakan yang saya terpikat dengan keindahan kota tersebut dari setiap sudut. Tidak kiralah dari segi makanan, seni bina bangunan, adat dan budaya, fesyen dan tidak ketinggalan Menara Eiffel yang ikonik itu. Tentu romantik jika melancong ke sana bersama orang yang tersayang.

Lihatlah susun atur bangunan di Paris

Menara Eiffel yang ikonik

Fashion store

...and lots of fashion stores

3. New York, Amerika Syarikat
New York, New York. A city that never sleep. Kota yang tidak pernah tidur sama sekali. Pada pendapat saya, kota New York adalah sebuah tempat yang sangat lengkap sebagai sebuah bandaraya unggul. Tengoklah sahaja susun atur bangunannya yang teliti, fasiliti yang sangat lengkap, pelbagai rumpun bangsa yang hidup bersama dan sebagainya. Makanan di sana yang dipaparkan di kaca television dan juga buku sememangnya mengundang kelaparan kerana ianya kelihatan sangat lazat. Saya dapat merasai getaran kota tersebut dengan hanya membaca mengenainya sahaja. Saya pasti bersyukur jika dapat menjejakkan kaki ke sana. New York aku datang!

Kota New York pada waktu malam

Statue of Liberty

Petak hijau itu ialah Central Park. Unik bukan?

Lihatlah betapa luasnya kota ini

4. Australia
Saya tidak menspesifikkan tempat impian yang saya ingin pergi di Australia kerana seluruh benua Australia itu saya ingin jelajahi. Saya ingin lihat keindahan semula jadi yang ada di sana kerana kebanyakannya tidak ada di tempat lain. Contohnya, haiwan kebangsaan negara itu Kanggaru dan juga beruang Koala yang sangat comel. Teringin benar untuk bersemuka dengan beruang Koala. Comel mungkin kan?. Selain itu, saya teringin pergi ke Terumbu Karang terbesar di dunia yang terdapat di sana. Melihat dan menghayati betapa agungnya karya ciptaan daripada Tuhan. Kota Sydney juga tidak ketinggalan dalam senarai semasa berada di Australia untuk melihat Rumah Opera serta jambatannya yang terkenal itu.

Terumbu Karang Besar, Australia

Wah, comelnya beruang Koala ni

Ayers Rock yang aneh di tengah gurun

Sydney Opera House yang terkenal

5. Mumbai, India
Ya, jangan terkejut dengan senarai ini. Mengapa saya menjadikan kota pengeluar filem terbesar di dunia ini sebagai tempat impian saya? Ini kerana saya ingin melihat kehidupan sebenar dan juga orang sebenar. Kata orang putih, real people, real life. Umum sudah mengetahui yang kota Mumbai mempunyai populasi penduduk yang sangat padat dan kebanyakan daripadanya adalah daripada golongan yang miskin. Pada pendapat saya, jika kita melihat kesusahan orang lain, kita akan lebih mensyukuri apa yang kita ada sekarang walaupun tidak banyak. Tetapi, jangan lupa ya yang kota Mumbai juga mempunyai tarikannya yang tersendiri seperti makanan, adat budaya, filem dan sebagainya. Adakah kamu tahu yang aktor terkenal Shah Rukh Khan juga tinggal di Mumbai?

Pemandangan indah Mumbai pada waktu malam

Perumahan setinggan di pinggir kota Mumbai

Banglo atau Mannat yang dimiliki oleh Shah Rukh Khan

The Dhobi Ghat - Dobi terbesar di dunia

Demikianlah senarai tempat-tempat impian yang ingin saya kunjungi suatu hari nanti. Saya berharap agar saya dapat melawat kelima-lima tempat ini apabila saya sudah berkerjaya dan mempunyai pendapatan sendiri. Yang pastinya, saya akan membawa kedua ibu bapa saya serta orang yang tersayang. Semoga angan-angan dan impian saya ini tercapai. Amin.

'Tidak salah untuk memiliki impian kerana impian itulah yang mendorong kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.'

Terima kasih kerana membaca

Sunday, 18 May 2014

Pentingnya membersihkan bahagian atas tin minuman sebelum minum

Entri pada kali ini sangat penting iaitu tentang perlunya untuk membersihkan bahagian atas tin minuman sebelum minum. Tidak kiralah kita menggunakan straw atau tidak. Kita boleh menggunakan tisu, sapu tangan, cuci dengan air atau pun menggunakan baju kita sendiri. Tetapi, pastikan benda yang kita gunakan untuk lap itu bersih ya. Kalau boleh, saya sarankan anda semua untuk beli minuman dalam botol. Lebih selamat.

Cuci dahulu sebelum minum. Okey?

Mengapakah saya tekankan tentang perkara ini? Ini kerana ianya berkaitan tentang soal kesihatan. Pernahkah kamu mendengar tentang kencing tikus? Kencing tikus adalah sangat sangat tersangat  berbahaya kepada kita dan boleh mengakibatkan kematian jika lambat dirawat. Nampak betapa bahayanya kencing tikus ni sehingga saya men-triple-kan perkataan SANGAT itu?

Minum air tin dengan meneguk begitu sahaja tanpa dibersihkan terlebih dahulu ialah sesuatu yang sangat berbahaya. Tahukah anda bahawa stok tin minuman yang disimpan di dalam stor 'mungkin' pernah dilalui atau terkena kencing tikus. Kita sudah sedia maklum yang tikus-tikus ini tidak mempunyai tandas. Terpaksalah mereka membuang air di merata-rata tempat mengikut suka mereka. Dan salah satu tempat yang sesuai untuk mereka 'melepas' ialah di atas stok-stok tin minuman ini. Bayangkan betapa jijiknya itu?

Adakah kamu yang melakukannya?!

Mungkin sesetengah daripada kita beranggapan bahawa lecehnya nak bersihkan lagi tin minuman bla,bla,bla... Namun, ingat! Berleceh-leceh dahulu, bersenang-senang kemudian. Bayangkan jika tin minuman itu sudah dikencing oleh tikus dan kita meminumnya begitu sahaja. Saya tidak mahu membayangkan apa yang akan terjadi seterusnya. Minta dijauhkan.

Kesimpulannya, beringat sebelum kena. Saya sudah ingatkan betapa pentingnya membersihkan tin minuman sebelum minum. Terpulang kepada anda untuk ikut atau tidak. Okey, disebabkan saya prihatin tentang perkara ini, dengan ini saya perintahkan kepada kamu semua untuk BERSIHKAN DAHULU TIN MINUMAN SEBELUM MINUM. Sekian.

Terima kasih kerana membaca

Saturday, 17 May 2014

Peraturan 5 saat

5 seconds rule ataupun peraturan 5 saat. Tentu anda semua pernah dengar kan?. Benda ni selalu saya buat ketika makanan saya jatuh ke lantai. Takut membazir...hehe... Rule ni bagi saya sangat sesuai untuk makanan seperti kacang, Nips, M&M, keropok dan sewaktu dengannya. Asalkan kering dan tidak basah. Bayangkan kalau seketul ayam masak merah jatuh ke lantai, pasti tak sanggup untuk kutip balik.

Saya masih ingat lagi ketika kecil, gula-gula Kiss Mee (Romantik betul jenama gula-gula ni) yang saya makan jatuh ke lantai. Kemudian, gula-gula itu pecah berderai. Wah, dengan pantasnya seperti Usain Bolt, saya pun mengutip cebisan gula-gula Kiss Me itu dengan harapan tidak melebihi 5 saat. Nah, berjaya juga saya. Satu persatu cebisan kecil gula-gula tersebut saya masukkan ke dalam mulut. Tetapi, sebelum tu saya akan tiup dahulu gula-gula tu untuk buang habuk. Satu kewajipan. Siapa pernah buat? Sila angkat tangan.


Gula-gula Kiss Me yang legend

Ada seorang kawan saya ni lagi dasyat. Hari tu kami ke pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu untuk membeli jeruk mangga yang terkenal. By the way, sesiapa yang teringin datang ke Sabah, jangan lupa untuk berkunjung ke pantai Tanjung Aru ya. Lecturer saya kata, pantai Tanjung Aru lebih cantik daripada semua pantai yang terdapat di Bali. Can you imagine how beautiful is that?

Okey, berbalik kepada cerita tadi, selepas membeli jeruk mangga, kami pun pergi ke tepi pantai untuk melihat pemandangan matahari senja nan merah berlabuh sambil menikmati jeruk mangga yang dibeli. Sedang kawan saya ini menikmati satu persatu jeruknya itu, tiba-tiba jeruk mangga itu terlucut dari pegangan dan jatuh ke tunggul kayu. Dengan pantasnya, dia mengutipnya kembali, tiup sehembus dua dan makan mangga itu semula. Tersibuk sekejap sel-sel saraf otak saya untuk memahami apa yang saya lihat sebentar tadi. Very amazing 5 second rule...haha...

Apapun, dari kita sahaja bah itu untuk mentafsir sama ada makanan yang jatuh tu perlu dikutip kembali atau tidak. Jika otak kita kata ya, tentulah kita akan kutip balik dan masukkan ke dalam mulut. Its depends on situation. Apa pendapat kamu jika segenggam M&M jatuh ke lantai. Adakah kamu akan mengutipnya? Of course yes, right? Begitu juga dengan saya.


Oh, lazatnya!

Baiklah, saya ingin menonton rancangan kegemaran saya iaitu The Voice Season 6. Sedihnya peserta kegemaran saya Sisaundra Lewis telah tersingkir.

Terima kasih kerana membaca

Friday, 16 May 2014

Kalau aku kaya

Fuh! Tajuk entri kali ini sungguh bercita-cita tinggi. Tapi, tidak mustahil untuk saya mencapainya. Bagaimanakah perasaan orang-orang kaya ni ya? Maksud saya yang KAYA dan memiliki wang berjuta-juta ringgit di dalam akaun mereka. Teringin benar untuk saya mengetahuinya. Adakah mereka gembira?. Soalan bonus. Sudah tentulah mereka gembira. Adakah mereka bahagia memiliki wang yang sangat banyak sehingga mampu membeli apa sahaja yang terlintas dalam fikiran mereka. Ataupun adakah mereka sedih kerana memiliki wang yang banyak tetapi disebalik kekayaan itu banyak hutang yang hampir sama nilainya dengan kekayaan mereka itu?. Siapa orang kaya di sini? Cuba tolong jawabkan...hehe...

Jika saya memiliki perniagaan sendiri yang menguntungkan pasti saya akan menjadi kaya. Ataupun mungkin ketika saya berjalan-jalan di taman bersama anjing saya Rio & Rico, tiba-tiba saya terjumpa beg yang mengandungi wang berjuta-juta dolar di dalamnya. Pasti saya akan menjadi kaya dengan sekelip mata...haha... Di bawah ini ialah antara benda yang saya ingin buat jika saya kaya suatu hari nanti.

Pertama sekali, saya akan memasukkan wang ke dalam akaun bank emak dan bapa saya. Tidak terkecuali adik-beradik saya. Kemudian, saya akan belikan mereka tanah yang sangat luas dan membina rumah seperti istana di atasnya. Saya akan lengkapkan isi rumah tersebut. Kereta? Sudah tentu saya akan belikan mereka kereta seperti Ferrari, Bentley, BMW dan sebagainya. Pendek kata, saya akan senangkan dahulu keluarga saya atau dalam erti kata lain membalas jasa mereka terutamanya ibubapa kerana membesarkan saya dengan baik.

Ini yang saya akan beli untuk mereka. So nice!

Seterusnya, saya akan membeli aset-aset yang berharga untuk masa depan yang lebih baik seperti tanah, bangunan, rumah dan sewaktu dengannya. Saya juga akan meluaskan empayar perniagaan saya supaya menjadi lebih kaya dan terus kaya. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Siapa tahu mungkin satu hari nanti akan berlaku krisis ekonomi. So, we must have backup plans.

Kemudian, saya akan membeli rumah impian untuk diri saya sendiri. Saya inginkan sebuah rumah yang sangat besar. Lokasi rumah itu mestilah terletak di atas bukit serta mempunyai pemandangan laut yang indah dari beranda rumah. Rumah tersebut haruslah mempunyai seni bina yang sangat moden dan unik. Kolam renang, halaman yang luas dan gelanggang sukan seperti badminton menjadi suatu kemestian. Oh, ya, tempat mengisi minyak kereta juga perlu ada di halaman rumah. Senang untuk mengisi minyak kereta sebelum jalan daripada perlu bersusah payah ke stesen minyak.

Rumah impian saya lebih kurang seperti ini

Dengan pemandangan laut yang cantik

Selain itu, saya akan membeli sebuah kereta idaman saya iaitu Hummer ataupun Range Rover berwarna putih. Oh, I love these cars so much. Mungkin saya juga akan membeli beberapa kereta tambahan seperti Ferrari dan Lamborghini just for fun.

Hummer yang saya curi-curi gambar ketika berada di stesen minyak

Last but not least, saya akan menubuhkan yayasan atau badan amal kebajikan untuk orang-orang yang lebih memerlukan. Contohnya, untuk pesakit kanser, anak-anak yatim piatu dan orang-orang tua. Saya gembira jika apa yang saya lakukan itu membuatkan orang lain gembira. Saya juga akan menderma wang kepada gereja untuk mereka gunakan. Ya, kaya tu kaya juga tapi jangan lupa untuk berbuat amal.

Sebenarnya, banyak lagi yang ingin saya senaraikan. Saya pasti kawan-kawan sekalian pun pernah mengimpikan seperti ini bukan? Tidak salah untuk kita berangan-angan tinggi kerana itulah sebenarnya yang memotivasikan kita untuk berjaya. Ini kerana kejayaan selalunya bermula daripada impian. Mungkin apa yang saya taip ini akan menjadi kenyataan?. Who knows? Jika ya, saya sangat bersyukur. Amin.

Terima kasih kerana membaca

Happy Mother's Day : Saya sayang emak

Sebenarnya, sudah lama saya ingin membuat entri ini. Dalam kesempatan ini, saya ingin menulis tentang seorang wanita yang saya sangat sayang dan sanjungi iaitu emak saya. Ya, emak saya.

Emak saya ialah seorang wanita yang sangat tabah. Emak suka membaca buku dan menjahit. Emak juga pandai memasak pelbagai jenis juadah. Masakannya sangat sedap sehinggakan saya menjadikan makanan kegemaran saya ialah masakan emak. Double cheese burger? Ayam KFC? Kek Cik Kiah? Semua makanan ini tidak mampu menandingi kelazatan masakan emak.

Oleh kerana kepakaran emak dalam memasak, dia pernah berniaga kuih-muih dan mee goreng secara kecil-kecilan dengan bapa saya. Kemudian, kami adik-beradik seramai 5 orang akan pergi menjual makanan-makanan tersebut mengelilingi kampung setiap awal pagi sebelum pergi ke sekolah.

“Auntie, uncle, mahu beli kuih dan mee?”

Itulah baris ayat yang selalu kami gunakan untuk memanggil tuan setiap rumah supaya mereka membeli jualan kami.

Hidup kami agak susah dahulu ketika saya masih kecil dalam umur 11 tahun. Saya masih ingat yang sambungan elektrik ke rumah kami telah dipotong kerana kami tidak mampu untuk membayar bil elektrik. Mungkin sudah tertunggak selama berbulan-bulan. Itu saya tidak pasti. Yang pastinya setiap malam kami hanya mengunakan minyak tanah dan lilin sebagai sumber cahaya untuk menerangi kegelapan malam. Disebabkan kesusahan itu, emak saya sanggup mencari kerja untuk menampung hidup kami. Dia bekerja di sebuah dobi mencuci pakaian pelatih PLKN setiap hari. Emak pergi kerja pada waktu tengah hari dan pulang pada waktu subuh kerana banyak pakaian yang perlu dicuci. Saya sangat kagum dengan emak saya kerana dia memahami bahawa pendapatan bapa saya tidaklah banyak sangat dan emak sanggup bekerja untuk membantu bapa menyara keluarga.

Dengan emaklah saya meluahkan masalah, meminta pendapat dan bersembang. Saya rapat dengan emak berbanding bapa kerana bapa sangat tegas tetapi penyayang. Emak sentiasa mendengar segala permasalahan kami adik-beradik dengan tekun dan memberi pendapatnya sendiri untuk membantu menyelesaikan masalah kami. Jika emak mempunyai masalah, dia akan sedaya upaya untuk menyembunyikannya daripada kami kerana emak tidak ingin membuatkan kami risau. Terima kasih mummy atas segala pengorbanan mu!

Happy Mother’s Day!

Terima kasih kerana membaca

Wednesday, 14 May 2014

Keindahan pantai yang menenangkan jiwa



Kelmarin ialah cuti umum sempena Hari Wesak. Saya bangun sedikit awal dari hari-hari biasa disebabkan anak-anak anjing peliharaan kami mula menyalak. Thank you puppies. Grrrr... Kemudian, saya melepaskan mereka dari sangkar dan membiarkan mereka bercanda mesra di halaman belakang rumah sambil membersihkan kandang mereka. Selepas itu, kami memberi mereka makan dan minum. Selesai sahaja semua itu, saya pun mandi untuk menyegarkan badan di pagi hari.

Selesai mandi dan minum pagi, saya berbaring di atas katil sambil menonton television, kemudian pergi ke tandas, baring, melayari internet, baring, minum, baring semula dan tidur. Itulah aktiviti saya. Uwahhhh. Bosannya saya pada ketika itu.

Tiba-tiba, saya mendapat mesej daripada Denny.

"Van, kamu free hari ini? Jom kita ke pantai? Saya akan datang menjemput kamu sekarang"

Oh, Denny. Terima kasih kerana menyelamatkan saya daripada badai kebosanan. Puitis sungguh ayat saya ini.

*     *     *

Sesampai sahaja di pantai, kami pun menuju ke tepian air. Syukur air laut pada ketika itu surut dan tohor. Sungguh indah dan tenang suasana pantai pada ketika itu walaupun dengan kehadiran pengunjung yang agak ramai. Dengan pantainya yang luas terbentang, air membiru, pasirnya yang putih serta air lautnya yang suam-suam kuku. Sangat sempurna untuk beriadah. Perfecto! Hilang segala stres dan masalah.

Oleh kerana air laut yang surut pada ketika itu, kami dapat turun ke dalam air sehingga 500 meter dari pantai. Kami mula menjelajah kawasan tersebut. Banyak hidupan laut yang dapat kami lihat di sini. Semua yang kami pernah tonton dalam Discovery Channel ada di depan mata. Antaranya, landak laut, sea anemon, tapak sulaiman, ketam, ikan dan batu karang. Excited sungguh Denny kerana dia memang minat dengan benda-benda seperti itu.


Tapak Sulaiman sedang mengawan

Denny sedang mencari sesuatu


Landak Laut. Cantik tetapi menggerunkan

Sea Anemon

Eh, anak siapakah ini?

Ketam Suri atau Ketam Bunga. Lembut sangat ketam ni. Sukar untuk didapati

...dan Mr. Crabs

Setelah berjam-jam di tepi pantai meneroka hidupan laut, kami pun membersihkan kaki dan tangan di tandas awam dan kemudian pulang ke rumah.

Memang sempurna sekali ciptaan Tuhan. Tiada cacat celanya. Keindahan pantai pada petang itu sangat mendamaikan jiwa. Pantai dan ketenangan memang tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan diri kita dan Pencipta.

Jumpa lagi. Shalom.


Terima kasih kerana membaca