Happy Mother's Day : Saya sayang emak

Sebenarnya, sudah lama saya ingin membuat entri ini. Dalam kesempatan ini, saya ingin menulis tentang seorang wanita yang saya sangat sayang dan sanjungi iaitu emak saya. Ya, emak saya.

Emak saya ialah seorang wanita yang sangat tabah. Emak suka membaca buku dan menjahit. Emak juga pandai memasak pelbagai jenis juadah. Masakannya sangat sedap sehinggakan saya menjadikan makanan kegemaran saya ialah masakan emak. Double cheese burger? Ayam KFC? Kek Cik Kiah? Semua makanan ini tidak mampu menandingi kelazatan masakan emak.

Oleh kerana kepakaran emak dalam memasak, dia pernah berniaga kuih-muih dan mee goreng secara kecil-kecilan dengan bapa saya. Kemudian, kami adik-beradik seramai 5 orang akan pergi menjual makanan-makanan tersebut mengelilingi kampung setiap awal pagi sebelum pergi ke sekolah.

“Auntie, uncle, mahu beli kuih dan mee?”

Itulah baris ayat yang selalu kami gunakan untuk memanggil tuan setiap rumah supaya mereka membeli jualan kami.

Hidup kami agak susah dahulu ketika saya masih kecil dalam umur 11 tahun. Saya masih ingat yang sambungan elektrik ke rumah kami telah dipotong kerana kami tidak mampu untuk membayar bil elektrik. Mungkin sudah tertunggak selama berbulan-bulan. Itu saya tidak pasti. Yang pastinya setiap malam kami hanya mengunakan minyak tanah dan lilin sebagai sumber cahaya untuk menerangi kegelapan malam. Disebabkan kesusahan itu, emak saya sanggup mencari kerja untuk menampung hidup kami. Dia bekerja di sebuah dobi mencuci pakaian pelatih PLKN setiap hari. Emak pergi kerja pada waktu tengah hari dan pulang pada waktu subuh kerana banyak pakaian yang perlu dicuci. Saya sangat kagum dengan emak saya kerana dia memahami bahawa pendapatan bapa saya tidaklah banyak sangat dan emak sanggup bekerja untuk membantu bapa menyara keluarga.

Dengan emaklah saya meluahkan masalah, meminta pendapat dan bersembang. Saya rapat dengan emak berbanding bapa kerana bapa sangat tegas tetapi penyayang. Emak sentiasa mendengar segala permasalahan kami adik-beradik dengan tekun dan memberi pendapatnya sendiri untuk membantu menyelesaikan masalah kami. Jika emak mempunyai masalah, dia akan sedaya upaya untuk menyembunyikannya daripada kami kerana emak tidak ingin membuatkan kami risau. Terima kasih mummy atas segala pengorbanan mu!

Happy Mother’s Day!

Terima kasih kerana membaca

0 comments