Happy Father’s Day : Saya sayang bapa

15hb June 2014 ialah Hari Bapa. It is never too late to wish my beloved father a Happy Father’s Day. Sempena Hari Bapa, saya ingin mendedikasikan entri ini untuk beliau, seorang insan yang banyak mengajar saya tentang erti kehidupan.

Bapa sangat tegas dalam mendidik kami. Ketika kecil kami sudah dibiasakan dengan hukuman seperti dirotan dan sebagainya untuk mengajar kami menjadi anak yang baik. Syukurlah atas semua itu, kami sekarang membesar menjadi anak yang berjaya dalam bidang yang kami masing-masing ceburi. Saya ingat lagi ketika bapa bertanya kepada saya, saya hanya menjawab “Hmmm”. Bapa marah dan mengatakan biadap untuk menjawab seperti itu. Dari situlah, saya mula menjawab “Ya”, bukan sahaja kepada bapa, tetapi kepada semua orang. Kami adik-beradik segan dan hormat sangat-sangat dengan bapa dan kerana itu, setiap masalah akan kami luahkan kepada emak. Kemudian, barulah emak akan menyampaikan masalah kami itu ke bapa.

Selain itu, oleh kerana bapa sangat tegas. Kami adik-beradik sentiasa berlumba-lumba untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam pelajaran kerana takut dimarahi oleh bapa. Setiap hujung tahun bapa akan melihat kad prestasi kami. Syukurlah ketika itu saya sentiasa mendapat kedudukan yang baik. Selalu mendapat top 3 di dalam kelas. Ada satu ketika saya mendapat anugerah Pelajar Terbaik keseluruhan mengalahkan ratusan pelajar yang lain. Bapa sangat bangga dengan saya. Momentum itu berterusan sehinggalah saya menjejakkan kaki di menara gading. Sesiapa yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan akan dicuci telinga cukup-cukup oleh bapa. Pernah sekali saya kena. Memang kaw-kaw jugalah.

Seperti yang saya ceritakan sebelum ini, keluarga saya sangat susah. Bapa sanggup mengambil upah bekerja di pasar ikan pada setiap subuh dan balik pada lewat petang. Bapa cuma menggunakan basikal untuk pergi bekerja. Setiap petang, bapa akan membawa makanan ringan untuk kami adik-beradik. Jadi, setiap kali bapa balik, kami akan berebut-rebut berjumpa dengannya. Siapa yang cepat akan mendapat makanan yang sedap. Bapa juga pernah mengerjakan sawah padi untuk menampung keperluan makan kami. Hasil beras yang diperolehi digunakan oleh kami seisi keluarga. Kami selalu membantu bapa di sawah menanam padi, membuat sistem pengairan, menghalau burung pipit, menuai padi dan banyak lagi. Jika diimbas kembali, beruntung sungguh diri ini kerana dapat merasai pengalaman seperti itu. Sekarang, syukurlah kehidupan keluarga kami mula berubah. Bapa pun sudah mempunyai bisnes sendiri dan dibantu oleh emak. Abang-abang pula sudah mempunyai kerjaya masing-masing. Syukur kepada Tuhan.

Bapa saya pandai bermain gitar dan menyanyi. Suaranya sedap betul. Tidak hairanlah kerana bapa dulu merupakan pemain bass dalam bandnya yang terkenal suatu ketika dulu. Mungkin saya mewarisi bakat daripada bapa kerana saya pun boleh juga menyanyi *pernah membuat persembahan dan juga mendapat tempat dalam beberapa pertandingan nyanyian* dan juga bermain gitar. Ya, bapa. Give me five!...hehe…

Pendek kata, saya amat berterima kasih kepada bapa kerana mengajar saya menjadi insan yang baik walaupun saya pernah juga menghampakannya. Bapa merupakan insan yang saya sangat kagumi dan sanjungi. Saya sangat bertuah mendapat bapa sepertinya. I love you dad!

Happy Father’s Day daddy!

Terima kasih kerana membaca

0 comments