Kisah tentang ibubapa dan ayam
Teringat cerita yang
pernah saya baca di internet. Kisah yang mana seorang anak gadis lupa diri
setelah melanjutkan pelajaran di sebuah institusi terkemuka. Di sanalah dia
berpeleseran dengan pemuda kota, bercumbu dan keluar malam balik pagi. Walhal,
dia berasal dari keluarga yang miskin. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang. Sepatutnya, dia bersyukur dan menggunakan peluang belajar di
universiti untuk mengubah kehidupan keluarganya. Kasihan sungguh ibubapanya
yang mengharapkan anaknya pulang dengan segenggam sijil namun sebaliknya yang
berlaku.
Berbalik kepada tajuk
di atas, kita sebagai anak haruslah mengutamakan ibubapa dari segenap segi.
Tidak kiralah dari segi kewangan, kasih sayang, kebahagiaan dan sebagainya.
Contohnya, apabila kita sudah berjaya, kita haruslah memberikan sedikit wang
pendapatan kepada ibubapa kita di kampung walaupun mereka tidak pernah meminta.
Tidak kiralah RM100 ataupun kurang daripada itu. Ibubapa kita akan tetap
bersyukur kerana itu menandakan yang kita masih ingat kepada mereka.
Apa yang dapat saya
lihat ialah anak-anak muda sekarang lebih mengutamakan pasangan mereka daripada
ibubapa masing-masing. Mereka lebih patuh kepada arahan pasangan daripada
ibubapa. Mereka berbelanja lebih untuk pasangan daripada ibubapa. Mereka cinta
kepada pasangan lebih daripada ibubapa. Saya faham perasaan bercinta ini. Dunia
akan terasa indah, hidup lebih bersemangat dan perasaan lebih ceria. Tetapi,
ingatlah yang cinta kita terhadap pasangan baru bermula beberapa tahun
sedangkan cinta kita terhadap ibubapa sudah bermula sejak kita masih dalam
kandungan. Secara logiknya, tentulah cinta yang yang sudah lama berbunga harus
diutamakan berbanding yang baru berputik.
Kadang-kadang,
segelintir anak yang telah berjaya tanpa mereka sedari mula menunjukkan sikap
yang kurang adab kepada ibubapa. Mungkin mereka merasakan yang mereka berkuasa
setelah mempunyai kerja, wang dan hidup sendiri. Misalnya, apabila ibubapa
bertanya, mereka menjawab acuh tidak acuh sahaja. Malah, mereka akan menjawab
dengan kasar apabila disoal berulang kali oleh ibubapa. Jika mereka marah,
mereka akan keluar dari rumah dan tidak akan pulang bertahun-tahun. Wujudkah
anak seperti itu? Mungkin ada. Mungkin tiada.
Saya teringin benar
menjadi anak yang berbakti dan berguna kepada kedua ibubapa apabila saya
bekerja kelak. Saya ingin membahagiakan kedua orang tua saya dengan memberikan
kesenangan hidup kepada mereka. Amin.
Sebenarnya, idea untuk
menulis entri ini tercetus apabila saya melihat seekor anak ayam duduk diatas
ibunya meminta perlindungan. Situasi itu membuatkan perasaan saya tersentuh.
Secara automatik saya teringat kepada mummy dan daddy saya.
Kesimpulannya, ingatlah
bahawa ibubapa adalah segala-galanya bagi kita sebagai seorang anak. Utamakan
mereka selagi kita masih mempunyai mereka di dunia ini.
Terima kasih kerana
membaca
0 comments