Cinta membuatkan hati suka dan benci
Selamat malam semua
kawan-kawan. Malam ini mood saya sedikit suram. Namun, saya gagahkan juga diri
untuk membuat entri ini.
Cinta. Apa itu cinta
bagi kamu? Bagi saya cinta ialah hubungan kasih sayang antara dua insan yang
diwarnai dengan kepercayaan, kesetiaan dan persefahaman antara satu sama lain.
Jika satu daripada elemen ini hilang, nescaya tugu cinta yang dibina tidak akan
bertahan dalam jangka masa yang lama. Cinta juga ialah sejenis perasaan yang
membuatkan jiwa kita terikat bersama orang yang kita kasihi. Perasaan itulah
yang membuatkan kita ingin sehidup dan semati bersama pasangan sehingga
akhir hayat.
Cinta membuatkan
hari-hari kita sentiasa cerah dan diwarnai dengan perasaan-perasaan yang indah.
Kita akan sentiasa rasa suka dan bahagia di samping orang yang kita cintai itu
dalam apa jua perkara yang kita lakukan bersama. Contohnya, makan bersama,
menonton wayang bersama, membeli-belah bersama dan sebagainya.
Namun, langit tidak
selalunya cerah. Cinta juga boleh membuatkan kita berasa benci kepada pasangan
kita. Cinta memberikan perasaan pahit bak hempedu yang tidak mampu kita telan.
Kadang-kadang, kita mempersoalkan adakah pilihan kita untuk mencintainya satu
keputusan yang tepat? Adakah hubungan ini cuma sebuah hubungan yang sementara?
Adakah hubungan ini cuma berlandaskan nafsu bukannya cinta sejati? Benda-benda
sebeginilah yang selalu bermain-main di kepala terutamanya semasa bergaduh
dengan pasangan yang kita cintai itu.
Antara suka dan benci,
tiada yang lebih baik. Suka dan benci inilah yang akan bergabung menjadi satu
perasaan cinta tanpa penghujung. Jika cinta diwarnai dengan perasaan suka
sahaja, tentu hubungan akan menjadi hambar dan begitu juga sebaliknya. Ini
kerana cinta ibarat sehelai kain putih yang memerlukan pelbagai warna untuk
dicoretkan menjadi potret cinta abadi.
Walaubagaimanapun, kita
hanya mampu merancang kerana yang menentukan sama ada kita akan hidup
selama-lamanya dengan pasangan yang sangat kita cinta itu ialah Tuhan.
Berikan 99% cinta
kepada pasangan, 1% yang selebihnya simpanlah untuk diri sendiri bagi
persediaan apabila hubungan itu tidak menjadi. Sekurang-kurangnya, 1% itu dapat
menggembirakan hati kita semasa sedih.
Terima kasih kerana
membaca
0 comments